LAPORAN TEORI PEMUSATAN KLIEN
Pendahuluan
Teori Pemusatan Klien merupakan teori yang mempunyai pandangan yang sangat berbeza dengan teori Psikoanalissi dan teori Psikologi Individu Adler. Hal ini kerana teori ini tidak menekankan tentang penerokaan peristiwa lepas sebagai salah satu cara untuk memahami masalah klien. Oleh itu, teori ini menekankan tentang betapa pentingnya kaunselor menerima dan memahami klien seadanya. Maka, melalui cara ini penerimaan dan kefahaman itu akan membolehkan klien memahami masalah mereka secara tidak langsung dapat menggunakan sumber-sumber diri untuk berkembang.
Pengasas Teori
Pengasas teori ini ialah Carl Ransom Rogers yang dilahirkan pada 8 Januari 1902 di Oak Park, Chicago dan meninggal dunia pada 4 Februari 1987 di La Jolla, California semasa berumur 85 tahun selepas menjalani satu pembedahan tulang punggungnya yang patah akibat satu kemalangan. Ayahnya merupakan seorang jurutera manakala ibunya seorang suri rumah. Kedua-dua ibu bapanya sangat berpegang teguh pada agama. Rogers amat rapat dengan ibunya dan dia tidak begitu bergaul dengan rakan sebayanya kerana masalah penyakit yang dihadapinya sewaktu kanak-kanak. Menurut Rogers, persekitaran keluarganya adalah persekitaran yang menekankan kasih sayang tetapi pada waktu yang sama amat menekankan kepatuhan pada ajaran agama yang sangat kuat.
Pencapaian akademiknya di sekolah sangat baik dan pada tahun 1919 dia memasuki unversiti wisconsin. Di universiti, dia mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuk rombongan ke China sebagai perwakilan dalam World Student Christian Federation Conference. Rogers mendapat ijazah pertamanya dalam bidang Sejarah pada tahun 1924. Rogers mendapat ijazah kedoktorannya pada tahun 1931. Setelah itu, minatnya bertukar kepada bidang agama seterusnya kepada bidang psikologi klinikal. Sejarah awal dan persekitaran keluarga Rogers mempengaruhi teori yang diasaskannya. Apabila ditanya andainya Rogers dapat berkomunikasi dengan ibu bapanya mengenai sumbangannya, Rogers menyatakan bahawa ibunya pasti mempunyai pandangan yang negatif. Jadi, tidak hairanlah jika ada antara konsep utama teori Rogers ialah penekanan kepada menerima tanpa syarat. Pada tahun-tahun terakhir hayatnya, Rogers aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan keamanan dengan menggunakan pendekatan pemusatan insan sehingga dicalonkan untuk menerima Nobel Prize.
Pandangan Tentang Sifat Semulajadi Manusia
Menurut Carl Rogers, manusia boleh berkembang secara positif dan membina jika wujud perasaan percaya mempercayai, hormat menghormati yang boleh dirasai dan dialami. Rogers menolak dengan tegas anggapan bahawa manusia itu tidak boleh dipercayai dan pasif, dan menjadi mangsa sifat biologi atau persekitarannya. Ia menolak anggapan kepercayaan bahawa manusia itu perlu diarah, didorong, diajar, didera, diberi ganjaran, dikawal dan diuruskan hidupnya oleh orang lain. Rogers yakin bahawa manusia itu memang dari mula sudah mempunyai kecenderungan dan keupayaan semula jadi untuk berkembang peringkat demi peringkat menuju ke arah nirwana kendiri, andainya wujud keadaan-keadaan yang sesuai.
Menurut Ee Ah Meng (1997), Carl Rogers dalam teori ini mengandaikan bahawa manusia adalah rasional, baik dan bertanggungjawab. Manusia boleh membuat keputusan sendiri yang membawa kepada kebebasan dan berdikari, bekerjasama, boleh dipercayai, realistik dan sanggup bersosial (Rohany Nasir, 2006). Sifat-sifat yang ada pada manusia adalah seperti membina, bekerjasama, boleh dipercayai, bersifat realistik dan sanggup bersosial. Perasaan-perasaan negatif yang terdapat pada manusia seperti marah dan benci memang wujud akibat penafian keperluan seperti kasih sayang, keselamatan dan penerimaan.
Andaian-andaian teori ini terhadap manusia adalah seperti :
1. Konsep kendiri adalah persepsi tentang diri individu berdasarkan interaksi kita dengan orang lain.
2. Individu bertingkah laku dalm bentuk yang boleh meningkatkan konsep kendirinya.
3. Masalah-masalah yang berlaku kerana timbul atau wujudnya antara konsep kendiri dengan pengalaman-pengalaman yang lalu.
4. Hanya dengan pengalaman dan penghormatan barulah individu akan bersedia untuk berkongsi masalahnya.
Suradi Salim (1996) berpendapat bahawa sifat manusia mengikut pendekatan Teori Pemusatan Insan ialah manusia dianggap mempunyai sifat-sifat positif dan mempunyai keinginan untuk berfungsi penuh, iaitu hidup dengan seberapa berkesan yang boleh. Jika seseorang itu dibenarkan untuk berkembang dengan bebas, dia akan berkembang dengan sempurna dan akan menjadi individu yang positif dan berjaya. Pandangan seseorang tentang dirinya dalam konteks persekitarannya menentukan tingkah lakunya dan kepuasan peribadinya. Jika diberikan atau disediakan dengan persekitaran yang menggalakkan, manusia akan berkembang dengan yakin ke arah nirwana kendiri dan menjadi apa sahaja yang dia inginkan. Jika dia tidak menerima kasih sayang dan sokongan orang yang penting baginya, kemungkinan besar dia menganggap dirinya tidak berharga dan menganggap orang lain tidak boleh dipercayai, serta mereka akan bersikap mempertahankan diri dan perkembangan ke arah nirwana kendiri akan terhalang. Persepsi seseorang tentang diri dan persekitarannya merupakan realiti baginya.
Bagi Rogers, untuk membolehkan seseorang itu berkembang secara positif dan membina mestilah wujud tiga suasana atau keadaan iaitu :
1. Kejujuran, keikhlasan dan kebenaran.
2. Penerimaan tanpa syarat dan perasaan ambil berat.
3. Kefahaman yang mendalam.
Jika ketiga-tiga keadaan ini dapat dirasai dan dialami oleh klien dalam hubungannya dengan kaunselor, dia juga akan mula menghayati sifat-sifat dan ciri-ciri ini dan seterusnya lebih bersedia untuk menerima pengalaman-pengalaman yang dilaluinya.
Andaian Asas dan Prinsip Teori
Pendekatan Pemusatan Klien ini berasal daripada teori psikologi humanistik. Teori ini berkongsi banyak pendapat dengan Teori Kewujudan yang dikategorikan sebagai teori humanistik. Mengikut teori ini, manusia pada asasnya boleh dipercayai dan mempunyai potensi dan sumber diri yang boleh digunakan untuk berkembang. Sumber dan potensi diri itu apabila dikenalpasti akan dapat digunakan untuk memahami diri dan menyelesaikan masalah mereka tanpa perlu intervensi langsung dari pihak kaunselor.
Perkembangan teori ini terbahagi kepada tiga peringkat iaitu :
1. Pada awal perkembangannya, klien dalam pendekatan Pemusatan Klien bertanggungjawab sepenuhnya. Pendekatan non-direktif ini dikaitkan dengan peningkatan pemahaman diri, penerokaan diri dan konsep kendiri.
2. Seterusnya pendekatan ini bergerak daripada penekanan kepada penjelasan perasaan kepada penekanan pentingnya memahami klien dari perspektif mereka sendiri.
3. Perkembangan selanjutnya menunjukkan Pemusatan Klien menekankan pentingnya sikap kaunselor atau ahli terapi. Sikap tersebut ialah memahami dengan empati dan kebolehan berkomunikasi tanpa prejudis dan tanpa syarat merupakan asas kepada terapi yang berkesan.
Berdasarkan teori ini, Carl Rogers menekankan bahawa klien mempunyai kebolehan untuk maju dan berkembang ke hadapan sekiranya diberi peluang atau disediakan persekitaran yang kondusif untuk perubahan tersebut. Carl Rogers berkali-kali menekankan bahawa klien adalah individu yang boleh dipercayai, berkebolehan untuk memahami diri sendiri, mengarah diri sendiri, dan seterusnya mempunyai kehidupan yang produktif. Syarat utama untuk menyediakan persekitaran ini aialah penyediaan diri kaunselor itu sendiri. Dengan kata lain, Rogers amat menekankan ciri-ciri peribadi kaunselor. Tiga syarat yang mesti dimiliki oleh kaunselor ialah :
1. Penerimaan tanpa syarat
2. Keaslian
3. Empati
Sekiranya ketiga-tiga ciri ini dimiliki oleh kaunselor dan dapat dirasai kewujudannya oleh klien, maka berlakulah intervensi secara tidak langsung oleh pihak kaunselor yang menggalakkan perubahan pada diri klien. Hal ini bermaksud ciri-ciri peribadi kaunselor akan mewujudkan persekitaran yang terapeutik yang dirasai oleh klien. Persekitaran yang terapeutik ini menggalakkan klien untuk memahami dirinya dan seterusnya memiliki ketiga-tiga ciri tersebut yang membolehkan mereka menggunakan sumber diri bagi berhadapan dengan masalah. Menurut Rogers lagi, ciir-ciri ini juga menggalakkan klien untuk mengurangkan sikap bela diri seperti memberi pelbagai aalsan untuk berubah.
Rogers melihat manusia pada asasnya sebagai baik dan sihat atau sekurang-kurangnya bukanlah teruk atau sakit. Di sini menunjukkan bahawa pandangan yang diketengahkan oleh Carl Rogers sangat bertentangan dengan pendapat Sigmund Freud. Hal ini bermakna Rogers melihat mental yang sihat sebagai perkara normal dalam diri manusia manakala penyakit atau gangguan mental sebagai gangguan daripada ciri normal seseorang. Actualizing tendency merupakan terminologi yang banyak disebut dalam buku-buku yang menerangkan teori Pemusatan Klien. Terminologi ini bermaksud bahawa manusia sentiasa bergerak ke arah kesempurnaan kendiri. Motivasi secara internal ini sentiasa wujud dan menjadi individu untuk menggerakkannya.
Walaupun setiap individu memiliki motivasi internal ini, pergaulan dan komunikasi manusia dengan persekitaran mungkin memberi impak sedikit sebanyak kepada kehidupan seseorang. Gangguan-gangguan inilah boleh mendorong manusia untuk menghadapi gangguan atau kecelaruan mental. Komunikasi manusia dengan persekitaran sangat memberi impak kepada persekitaran kerana persekitaran dan masyrakat mempunyai jangkaan terhadap anggota masyarakat. Sebagai contoh, masyarakat menetapkan peraturan-peraturan berkenaan kehidupan yang kadangkala bertulis dan tidak bertulis. Jangkaan masyarakat kadangkala bertentangan dengan realiti seseorang individu. Kegagalan memenuhi jangkaan dan harapan masyarakat ini boleh dianggap pertembungan antara realiti diri dan ideal. Pertentangan inilah yang akan memberi kesan kepada emosi manusia. Maka, dalam keadaan inilah manusia akan menggunakan motivasi internal sebagai rawatan kepada gangguan emosinya.
Kesimpulannya disini adalah Pemusatan Klien sangat menekankan aspek diri klien yang boleh digunakan, apa yang sesuai untuk dirinya. Dengan erti kata lain, Pemusatan Klien menolak peranan kaunselor atau ahli terapi sebagai pakar dalam menyelesaikan masalah dan mengetahui apa yang sesuai atau tidak sesuai bagi klien.
Pengenalan
Berdasarkan kepada definisi-definisi
kaunseling yang diberikan sebelum ini dapat disimpulkan bahawa kaunseling
adalah suatu proses. Proses kaunseling ini melibatkan satu urutan perkembangan perhubungan antara
kaunselor dengan klien yang berlaku dalam suatu jangka waktu tertentu.
Perhubungan ini bermula dari satu peringkat dan terus berkembang ke satu
peringkat yang lain. Peringkat-peringkat ini berjalan secara teratur dan
mempunyai sesuatu objektif atau tujuan yang tertentu.
Dalam proses ini berlaku perbincangan
yang sistematik yang dipimpin oleh kaunselor tanpa disedari oleh klien.
Pertemuan dan perbincangan ini dipanggil sesi kaunseling. Ia merupakan proses
perkongsian dari segi intelek dan emosi. Proses ini bermula apabila ada
persetujuan antara klien dan kaunselor untuk melibatkan diri mereka dalam
menguruskan sesuatu persoalan. Proses perkongsian ini mungkin berlangsung dalam
beberapa sesi pertemuan kaunseling.
Peringkat-peringkat Proses Kaunseling
Pakar-pakar dalam bidang bimbingan dan
kaunseling telah membahagikan proses kaunseling kepada beberapa peringkat
mengikut tanggapan atau teori yang menjadi pegangan mereka. Peringkat-peringkat
ini hanyalah suatu konsep yang dibuat bagi menyenangkan huraian dan kefahaman
sahaja. Ianya bukanlah suatu yang muktamad atau kaku. Setiap peringkat
mempunyai matlamat dan tujuan yang tertentu yang bertujuan menjadikan proses
kaunseling berjalan dengan lancar dan sempurna.
Antara contoh model peringkat-peringkat
proses kaunseling yang telah dikemukakan adalah seperti berikut:
1. Model Eisenberg dan
Delaney
Eisenberg dan Delaney (1977) membahagikan
proses kaunseling kepada enam peringkat iaitu
1.
Perjumpaan awal
Di peringkat
ini, kaunselor perlu menyapa klien dengan baik, menunjukkan empati, ketulenan,
kemesraan dan anggapan positif terhadap kliennya. Apabila keadaan mesra telah
wujud, klien lebih bersedia untuk berkongsi masalahnya serta akan menceritakan
lebih lanjut tentang masalah itu. Kaunselor juga perlu menggalakkan penilaian
kendiri klien iaitu klien memikirkan kekuatan dan kelemahan dirinya sendiri dan
menyediakan sesuatu untuk difikirkan oleh klien sebelum sesi seterusnya.
2.
Penerokaan masalah dan membina
perhubungan
Pada peringkat
ini, kaunselor terus membina perhubungan yang baik dengan klien. Kaunselor
harus memastikan kepercayaan klien terhadap dirinya dengan memelihara
kerahsiaan maklumat yang diberikan oleh klien.
Kaunselor juga perlu menunjukkan bahawa beliau berempati dan amat
mementingkan kebajikan klien. Dengan cara ini proses penerokaan akan dapat
berjalan dengan lancar dan berkesan.
Bagi
menggalakkan klien meluahkan masalahnya, kaunselor boleh menggunakan
soalan-soalan terbuka, refleksi, parafrasa, meminta penjelasan dan kemahiran-kemahiran
asas kaunseling yang lain. Tujuan utamanya adalah untuk membolehkan kaunselor
memahami klien dan membantu klien mencapai kesedaran kendiri.
3. Penentuan
Matlamat
Peringkat
ini terdiri daripada empat komponen yang berkait rapat iaitu
a.
Penentuan matlamat kaunseling.
b.
Menimbangkan ciri-ciri klien
yang boleh mempengaruhi strategik kaunselor.
c.
Memikirkan matlamat-matlamat
proses iaitu yang berlaku sepanjang proses menolong.
d.
Membina satu rancangan tindakan
yang akan dilaksanakan oleh klien agar matlamatnya tercapai.
4. Membina
dan Melaksanakan Pendekatan
Di peringkat ini,
kaunselor bersama-sama dengan klien akan cuba membina dan melaksanakan satu
pendekatan yang bersesuaian untuk mencapai matlamat kaunseling.
5. Menilai Pencapaian
Di peringkat ini,
kaunselor akan menilai keberkesanan strategik yang telah digunakan. Jika
terdapat kelemahan-kelemahan atau kekurangan maka kaunselor bersama-sama klien
akan memikirkan cara-cara untuk mengatasinya.
6. Penamatan
dan susulan
Di peringkat
ini, kaunselor akan membuat susulan sama ada strategik atau pendekatan yang
digunakan untuk mengatasi masalah klien berjaya atau tidak. Jika berjaya maka
proses kaunseling bolehlah ditamatkan. Jika tidak, sesi kaunseling boleh
dimulakan semula.
2. Model Mizan dan Halimatun
Mizan dan Halimatun (2002) juga telah
membahagikan proses kaunseling kepada enam langkah iaitu
1. Menyediakan
Prasesi
Bagi klien yang
datang dan membuat temu janji, kaunselor perlu bersedia untuk mengetahui serba
sedikit tentang profil klien demi memudahkan kaunselor membentuk hubungan dan
memberikan pertolongan.
2. Membina Hubungan;
Melayan, Mendengar dan Memahami
Kejayaan membina
hubungan yang baik dengan individu yang meminta pertolongan adalah penting
dalam memulakan sesi kaunseling. Kaunselor boleh mengujudkan hubungan yang baik
ini dengan menunjukkan tingkah laku tanpa lisan yang mesra, menunjukkan
keinginan menolong, mendengar perkara yang diperkatakan, mendengar luahan
perasaan, tidak cepat membuat penilaian dan cuba memahami klien.
3. Meneroka dan
Menganalisis Masalah
Permasalahan
yang dikemukakan oleh klien perlu diteroka. Tujuannya ialah supaya kaunselor
dan klien dapat memahami permasalahan berkenaan dengan betul dan objektif
khususnya dari aspek pemikiran, perasaan dan perlakuan klien.
4. Mengenalpasti
Punca Masalah
Klien
perlu dibantu supaya dia dapat melihat di mana punca masalah bagi memudahkan
proses intervensi dilakukan. Ini kerana masalah selalunya kompleks dan berkait-kait sehingga tidak dapat dipastikan yang mana
punca utama dan yang mana masalah sampingan.
Di peringkat ini
juga kaunselor dan klien berbincang mengenai pilihan atau alternatif yang boleh
digunakan bagi mencapai matlamat kaunseling.
5. Mengambil
Tindakan
Pilihan atau
alternatif yang telah dipilih perlu disusuli dengan tindakan iaitu klien akan
melaksanakan pilihan yang telah dipersetujui bagi mengatasi masalahnya.
6. Menamatkan
Sesi
Penamatan
dilakukan pada setiap sesi atau setelah permasalahan klien dapat diuruskan.
3. Model Lewis
Lewis (1972) membahagikan proses
kaunseling kepada lima tahap iaitu
1. Menentukan
tujuan/matlamat klien iaitu sebab mengapa dia memerlukan perkhidmatan
kaunseling.
2. Memberi
definisi/penerangan tentang proses kaunseling
3. Penerangan
dan pemahaman tentang keperluan klien
4. Kemajuan
ke arah mencapai matlamat
5. Membuat kesimpulan
dan rancangan untuk masa depan klien berdasarkan pengalamannya semasa proses
kaunseling sebelum menamatkan sesi kaunseling.
4. Model Brammer
Brammer (1973) pula mengatakan bahawa
proses kaunseling mempunyai lapan peringkat iaitu
1.
Penyediaan dan kemasukan
2.
Penjelasan tentang mengapa
klien memerlukan kaunseling
3.
Menstruktur atau merangka
proses kaunseling selanjutnya seperti bagaimana kaunselor dan klien dapat
bekerjasama, had-had masa, peranan masing-masing, membuat perjanjian, iaitu
kedua-dua akan berusaha mencapai matlamat.
4. Perhubungan mesra/membina
perhubungan
5. Penerokaan masalah klien
6.
Pengukuhan apabila klien
mengamalkan kemahiran-kemahiran baru
7.
Perancangan yang rasional
8. Penamatan iaitu merumuskan pencapaian
5. Model Gibson dan Mitchell
Gibson dan Mitchell (1990) pula
meringkaskan proses kaunseling kepada hanya empat peringkat sahaja iaitu
1.
Membina hubungan
Kaunselor dan
klien membina hubungan yang menolong. Di peringkat ini kaunselor perlu
mengambil inisiatif untuk wujudkan suasana yang kondusif, hormat menghormati,
percaya mempercayai dan terbuka.
2.
Penerokaan dan mengenalpasti
masalah
Hasil dari
perhubungan menolong yang telah terbina, klien akan meluahkan masalahnya dengan
mendalam. Kaunselor bertanggung jawab untuk membantu dan merangsang klien untuk
terus berkongsi pengalaman supaya penilaian yang lebih tepat dapat dibuat.
3.
Rancangan untuk menyelesaikan
masalah
Apabila
kaunselor telah pasti semua maklumat mengenai masalah klien telah diperolehi
dan difahami serta klien pula telah menerima kenyataan bahawa sesuatu perlu
dilakukan bagi mengatasi masalahnya maka rancangan untuk menyelesaikan masalah
klien boleh dimulakan.
Kaunselor
perlu membantu klien untuk mencari sebanyak mana penyelesaian yang mungkin.
4.
Aplikasi penyelesaian dan
penamatan
Pada peringkat
ini, klien bertanggung jawab untuk melaksanakan rancangan penyelesaian yang
telah dipersetujui. Kaunselor pula sentiasa memberikan galakan dan dorongan
kepada klien. Kaunselor juga perlu membuat tindakan susulan supaya perkembangan
klien dapat dimantau. Setelah klien dapat berdiri atas kaki sendiri, hubungan
kaunseling boleh ditamatkan.
Kesimpulan
Secara umumnya dapat disimpulkan bahawa
proses kaunseling dipengaruhi oleh pendekatan atau teori yang digunakan oleh
kaunselor yang berkenaan. Proses kaunseling mengandungi peringkat-peringkat
seperti pertemuan awal, penerokaan, mengenalpasti masalah, menentukan matlamat
kaunseling, rancangan untuk mengatasi masalah, perlaksanaan rancangan, tindakan
susulan dan penamatan. Dari segi peranan dan tanggungjawab pula, kaunselor
perlu memainkan peranan dan tanggungjawab yang lebih utama ditahap awal proses
kaunseling. Peranan dan tanggungjawab ini kemudiannya secara pelahan-lahan
beralih kepada klien hinggalah hubungan kaunseling ditamatkan.
Teknik-teknik kaunseling
Berdasarkan teori dan pendekatan
masing-masing, ahli-ahli dalam bidang bimbingan dan kaunseling telah
menggunakan berbagai teknik bagi membantu para klien yang datang mendapatkan
perkhidmatan mereka.
Antara contoh teknik-teknik yang
digunakan adalah;
1 Perkaitan bebas
Teknik ini
selalu digunakan dalam pendekatan psikoanalisis. Teknik perkaitan bebas
memerlukan klien meluahkan apa sahaja yang terlintas dalam pemikirannya tanpa
menapis susunan logik perbualannya dengan kaunselor. Teknik ini digunakan bagi
tujuan mengingat semula pengalaman serta emosi lampau yang pernah dialami oleh
klien. Kaunselor biasanya memberi satu sikap interaksi yang menggalakkan supaya
klien boleh bertindak secara bebas tentang perkara yang hendak diluahkan. Asas
kepada teknik ini adalah kefahaman bahawa dalam diri individu memang tersemat
pendaman sebagai satu faktor mekanisma bela diri. Tujuan perkaitan bebas adalah
bagi melepaskan ke tahap sedar pendaman yang lama sehingga dapat diluahkan.
Pendaman yang banyak tersimpan menjadi tekanan desakan diri. Sehingga pendaman
tersebut dikeluarkan ke tahap sedar, ia tidak boleh disesuaikan dengan alam
nyata.
2 Tranferens
Teknik ini juga selalu digunakan dalam
pendekatan psikoanalisis. Trenferens digunakan oleh kaunselor bagi memberi
galakan kepada klien bahawa kaunselor sememangnya bersedia untuk memberikan
bantuan. Konsep tranferens meletakkan klien dalam satu keadaan minda bahawa
kaunselor sebenarnya adalah ibubapa atau orang yang penting dalam kehidupan
masa lampau mereka. Dalam proses tranferens seseorang klien itu akan
menghidupkan semula tanpa disedari segala tingkahlaku lampaunya kepada
kaunselor. Keadaan ini sangat perlu difahami oleh kaunselor bagi menangani
proses analisis dan pentafsiran mekanisma bela diri klien.
3 Pentafsiran
Dalam proses
kaunseling psikoanalisis, pentafsiran penting bagi menimbulkan wawasan
psikologikal kepada diri klien. Trenferens sahaja tidak mencukupi bagi
menggerakkan klien kearah kelegaan dan tingkahlaku yang baru. Analisis dan
pentafsiran tentang mekanisma bela diri klien akan memudahkan klien memahami
kerumitan yang sedang dialaminya. Tugas kaunselor adalah untuk menjelmakan satu
katarsis atau kelegaan dalaman yang boleh dinikmati klien. Pentafsiran dapat
menggerakkan segala kefahaman superego yang lama kepada satu tahap kesedaran
baru. Pengalaman dan kefahaman baru ini selanjutnya akan diganti dengan
kesedaran ego baru dan bergerak ke arah penerimaan superego yang lebih sesuai
dengan keadaan semasa sealiran dengan klien.
Dalam proses
kaunseling secara psikoanalisis ini berbagai rintangan mungkin akan timbul di
antara interaksi kaunselor dengan klien. Pentafsiran yang dikemukakan oleh
kaunselor tidak semestinya diterima oleh klien. Hasil pentafsiran mungkin
menimbulkan satu reaksi kepincangan dan kaunselor wajar bersedia menerima
hakikat bahawa tidak semua analisisnya
mudah diperlakukan oleh klien. Apabila keadaan ini berlaku maka kaunselor wajar
sedar bahawa klien mungkin berada dalam keadaan transferens dan menganggapnya
sebagai orang yang signifikan yang pernah dialami dalam hidupnya yang lampau.
Ada kalanya juga rintangan tidak semestinya berlaku hasil daripada proses
transferens. Ada kemungkinan juga rintangan berlaku hasil daripada satu
penolakan sebenar pentafsiran yang diberi oleh kaunselor. Tanda seperti ini
memberi isyarat bahawa klien belum bersedia untuk menyesuaikan dirinya dengan
keadaan yang sebenar.
4 Penilaian
Teknik ini selalu digunakan dalam
pendekatan kaunseling tingkah laku. Proses penilaian memerlukan kaunselor
mendapatkan segala maklumat tentang masalah yang dialami klien. Kaunselor perlu
mengumpul maklumat mengenai masa, cara masalah berlaku, cara yang diusahakan
oleh klien bagi mengatasi masalah, tempat, keadaan trauma yang pernah dialami,
pengalaman klien dan berbagai lagi ciri maklumat tentang masalah yang dihadapi
oleh klien.
Cara kaunselor menyoal semasa sesi
kaunseling bagi mendapatkan maklumat adalah penting. Soalan yang bermula dengan
perkataan “mengapa’ wajar dielakkan manakala soalan yang bermula dengan
perkataan ‘bagaimana’, ‘apakah’, ‘bilakah’ dan ‘dimana’ wajar digalakkan.
Walaupun kaunselor akan mendapat maklumat dari soalan yang dikemukakan tetapi
kaunselor tidak semestinya menerima sepenuhnya jawapan yang diberi oleh klian.
Cara klien menjawab juga penting diberikan perhatian. Kaunselor hendaklah
sentiasa peka pada gerak geri dan cara klien menjawab bagi mengesan ciri-ciri
tidak konsisten, cuba mengelak sesuatu atau membuat sesuatu yang terpesong dari
yang benar.
Satu cara lain bagi mendapatkan penilaian
dari klien adalah dengan menggunakan laporan kendiri yang dibuat oleh klien.
Laporan ini adalah baik bagi pengumpulan maklumat tentang khayalan klien,
pemikirannya dan juga perasaan mereka.
5 Main Peranan
Satu teknik yang juga digunakan dalam
pendekatan kaunseling tingkah laku. Cara ini sesuai dalam menangani masalah
interaksi. Biasanya kaunselor bersetuju untuk mengambil atau memainkan peranan
orang yang klien menghadapi masalah untuk berinteraksi. Dengan cara ini
kaunselor dapat mengenalpasti masalah induk yang klien hadapi dalam
interaksinya dengan orang tersebut. Selanjutnya kaunselor akan mampu untuk cuba
mengubah tingkah laku celaru yang dialami oleh klien dengan menggunakan teknik
sampingan seperti latihan asertif dan sebagainya.
Dalam pendekatan REBT, klien akan
melakunkan semula tingkah laku kebimbangan, kemarahan dan kemurungan yang
dialaminya. Kaunselor akan menerangkan bagaimana ianya terjadi. Kemudian
peranan tadi akan ditukar di mana kaunselor pula akan memainkan peranan klien
tadi sehinggalah klien boleh menerangkan semula bagaimana pemikiran salah itu
boleh berlaku.
6 Gambaran Imej
Teknik gambaran imej boleh memberi ingatan yang
lebih jelas kepada klien tentang pengalaman yang dilalui sama ada yang lampau,
sekarang atau yang akan datang. Cara ini dapat menyenangkan klien secara
menggunakan simbol dalam imejnya tentang perkara yang menjadi kerumitannya.
Disamping itu kaunselor juga akan dapat persepsi serta penilaian yang lebih
jelas tentang masalah klien setelah klien menghuraikan pengalaman yang telah
dialaminya dalam gambaran imej secara lisan.
7 Desensitisasi Bersistem
Teknik ini menerapkan penggunaan gambaran
imej dengan latihan relaksasi bagi menghasilkan suasana selesa yang boleh
diterima klien. Desensitisasi bersistem biasanya digunakan sebagai satu teknik
bagi menghindar keadaan keresahan, kegelisahan atau kebimbangan yang dialami
klien. Proses permulaannya adalah dengan mengasingkan terlebih dahulu situasi
yang menjadi pemangkin keresahan, kegelisahan atau kebimbangan yang sedang
dialami klien. Keadaan ini diukur dalam satu bentuk kontinum antara situasi
yang kurang meresahkan hingga satu penghujung yang sangat mengancam
ketenteraman klien.
Latihan relaksasi secara beransur-ansur biasanya
diterap sebagai elemen penghindar yang bertentangan dengan perasaan dan
pemikiran keresahan atau kegelisahan. Kaunselor akan mengasuh klien
membayangkan atau menggambarkan dalam bentuk satu hiraki imej yang bermula
dengan acara yang kurang meresahkan dan beransur-ansur bergerak ke arah hiraki
yang lebih tinggi dengan keadaan yang paling mengancam klien. Proses relaksasi
disematkan ke dalam imej klien semasa klien mengambarkan imej-imej yang
dirasakan kurang selesa sehingga imej tersebut bertukar menjadi selesa pada pandangan
dan pemikiran klien. Proses ini diulang dan kaunselor akan hanya memimpin klien
bergerak ke tahap hiraki yang lebih tinggi apabila klien sudah mampu menangani
keadaan keresahan yang baru dilalui dalam latihannya.
8 Menghilangkan Rasa Malu
Teknik ini digunakan dalam pendekatan
REBT. Teknik ini memerlukan klien untuk keluar ke khalayak ramai dan dengan
berhati-hati melakukan sesuatu tingkah laku yang dianggap ‘bodoh’ dan
‘memalukan’. Pada masa yang sama juga klien akan digalakkan untuk merasai
secara kognitif dan emotif hanya terhadap perkara-perkara yang boleh dimaafkan
dan bukannya ‘malu’ apabila tingkah laku tersebut tidak diterima oleh orang lain.
9 Imageri Rasional-Emotif
Teknik ini memerlukan klien membuat
imaginasi terhadap satu perkara yang amat buruk yang boleh berlaku ke atas
dirinya seperti membayangkan perasaan kemurungan, negeri, ketakutan dan
kemarahan. Kemudian klien akan berusaha untuk merasai kekecewaan, kesedihan dan
kehampaan secara yang lebih tepat.
10 Membina Kenyataan Bersungguh
Dalam teknik ini klien ditunjukkan
bagaimana untuk membina kenyataan diri yang realistik dan rasional. Klien juga
diajar bagaimana untuk menanamkannya dalam fikiran dan jiwa sehingga mereka
yakin dan percaya dengan bersungguh-sungguh.
11 Dialog-Diri Bertenaga
Dalam teknik ini klien akan merakamkan
kepercayaan tidak rasional ke dalam pita dan berhujah mengenainya dengan kuat
dalam pita tersebut. Kemudian klien akan mendengar semula pita rakaman tadi dan
beri orang lain mendengar sama. Seterusnyanya klien akan menyemak sama ada
ianya cukup kuat dan bertenaga.
12 Pengajaran Langsung
Kaunselor berusaha untuk menerangkan
kepada klien yang kebimbangannya adalah tidak rasional dan tidak logik.
13 Latihan Aversi
Dalam teknik ini klien akan mengaitkan sesuatu
yang pahit atau tidak selesa dengan tingkah laku
yang hendak disingkirkan.
Contohnya seorang klien yang gemok yang suka makan gula-gula,
aiskrim, coklat
dan sebagainya pada sepanjang masa. Klien in diletakkan dalam keadaan
bertenang.
Kemudian apabila dia mletakkan gula-gula ke dalam mulut, dia diminta
membayangkan gula-gula
itu sebagai ulat dan menyebabkan dia muntah. Bayangan
ini diulang setiap kali apabila dia hendak
memakan gula-gula. Kemudian dia
diminta memberi pujian kepada dirinya sendiri ketika dia tidak
makan gula-gula.
Kesimpulan
Sebenarnya ada banyak lagi teknik yang
boleh digunakan dalam menjayakan usaha kaunselor untuk membantu klien yang
datang mendapatkan perkhidmatan mereka. Pemilihan teknik ini bergantung kepada
pendekatan atau teori yang menjadi pegangan kaunselor yang berkenaan. Contoh-contoh teknik yang digunakan adalah
Teori Psikoanalisis:
1.
Free Association
2.
Interpretation
3.
Dream Analysis
4.
Analysis and Interpretation
of Resistance
5.
Analysis and Interpretation
of Transference
Teori Adlerian:
1.
Immediacy
2.
Paradoxial Intention
3.
Acting As If
4.
Spitting In The Client’s
Soup
5.
Catching Oneself
6.
Push-Button Technique
7.
Avoiding Traps
8.
Task Setting and Commitment
Teori Gestalt:
1.
Dialogue Exercise
2.
Making Thr Rounds
3.
Unfinished business
4.
‘I take responsibility’
5.
‘I have a secret’
6.
Playing The Projection
7.
Reversals
8.
The Rhythym of Contact and
Withdrawal
9.
‘Rehearsal’
10.
‘Exaggeration’
11.
‘May I feed You A Sentence’
12.
Marriage-Conseling Games
13.
‘Can You Stay With This
Feeling?’
Teori Tingkah Laku:
1.
Relaxation Training
2.
Systematic Desensitization
3.
Modeling Methods
4.
Assertion Training
5.
Self Management Program
6.
Self Directed Behavior
7.
Operant conditioning
Teori Rasional Emotif Tingkahlaku
1.
Disputing irrational belief
2.
Cognitive homework
3.
Changing one’s language
4.
Use of humor
5.
Rational-emotive imagery
6.
Role playing
7.
Shame-attacking exercises
8.
Use of force and vigor
Malahan ada juga pendekatan atau teori
kaunseling yang tidak pula menggunakan atau menamakan teknik-teknik tertentu
dalam pengendaliannya seperti teori
pemusatan perorangan dan teori eksistential.
Teori pemusatan perorangan lebih
menekankan kepada perhubungan yang rapat dan akrab antara kaunselor dengan
klien yang berasaskan kepada unsur-unsur ketulusan, jujur, mesra, kongruen dan
empati. Jika kaunselor dapat mewujudkan suasana dan perhubungan yang terapeutik
maka dengan sendirinya kesan terapi dapat dinikmati oleh klien.
No comments:
Post a Comment